PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukan sebanyak RM500 juta melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) sebagai salah satu usaha membantu orang ramai melalui penambahbaikan insfrastruktur kecil awam.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, IKR membolehkan rakyat memaklumkan secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan kediaman masing-masing kepada Kementerian Ekonomi, dengan kos projek tidak melebihi RM200,000.

Melalui peruntukan tersebut, Rafizi berkata IKR dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 2,500 projek kemudahan rakyat di seluruh negara.

Ia antaranya termasuk projek baharu dan baik pulih dan naik taraf kemudahan asas awam seperti jalan, tandas, surau atau lif yang tidak melebihi jumlah yang ditetapkan, tambah Rafizi.

“Tetapi kita harapkan permohonan yang masuk akal, misalnya RM50,000 (kos projek). Jadi itu akan memanfaatkan jauh lebih baik (bilangan) projek.

“Ia juga bergantung kepada tempat-tempat dan projek. Kalau boleh kita gandakan (2,500 projek), kita jangka 5,000 projek seluruh negara dalam tempoh dua atau tiga bulan ini,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan IKR di sini hari ini.

Jelas Rafizi lagi, IKR merupakan bantuan Kerajaan Persekutuan dan bertujuan mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil awam yang terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pelaksanaan IKR juga, jelas beliau bertujuan membantu kontraktor-kontraktor kecil seluruh negara yang akan mendapat manfaat daripada projek-projek terbabit.

Orang ramai kini memohon bantuan projek-projek infrastruktur awam kecil melalui laman web IKR di alamat ikr.ekonomi.gov.my bermula hari ini.

Kriteria permohonan projek kecil

i. Projek infrastruktur kecil yang memberi manfaat segera kepada rakyat setempat/masyarakat umum.

ii. Kos projek yang dimohon tidak melebihi RM200,000.00.

iii. Projek dapat dilaksanakan dalam tahun semasa, bersifat 'best value for money', tiada elemen bermewah-mewah dan amat diperlukan untuk kepentingan/kegunaan umum.

iv. Projek bukan untuk tujuan keperluan/aset individu dan tidak terletak di atas tanah milik persendirian serta tidak melibatkan pengambilan tanah.

v. Projek tidak bertindih dengan projek yang telah memperoleh kelulusan peruntukan daripada agensi Kerajaan lain (Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri).