GEORGE TOWN: Sebanyak RM40 juta daripada RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah diluluskan di peringkat jawatankuasa untuk pelbagai program bagi memastikan transformasi sosioekonomi masyarakat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran menjelaskan peruntukan itu baharu sahaja diluluskan dan perlu menjalani proses yang panjang sebelum diagihkan untuk manfaat kaum India.

"Kita bercadang untuk memanfaatkan dana itu bagi bantuan subsidi pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, bantuan kepada pesakit menjalani dialisis serta bantuan untuk murid di tadika swasta yang melibatkan masyarakat India kelak," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata baki peruntukan MITRA akan digunakan bagi beberapa program lain termasuk dana pendidikan, sijil profesional, bantuan kepada golongan di estet dan penduduk kampung.

Belanjawan Madani 2024 memperuntukkan dana RM100 juta untuk MITRA bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India selain RM30 juta di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional khusus untuk pembiayaan perniagaan diusahakan masyarakat India.

-- BERNAMA