Rombongan tiga sahabat ke Mekah menaiki motosikal disambut penuh mesra oleh kaum keluarga dan rakan taulan sejurus mereka selamat tiba di tanah air pada pagi Selasa.

Dengan membawa nama konvoi ‘Gi Mekoh Nga Mutor’, mereka yang merupakan sahabat seperjuangan dalam aktiviti permotoran di negeri Kelantan memilih untuk menaiki motosikal berkuasa 150cc sebagai kenderaan menuju ke Arab Saudi.

Mereka yang terdiri daripada Diami Yusoff, 60 tahun; Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40 tahun, dan Mohd Zalani Zulkifli, 64 tahun, berlepas dari Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada 3 November lalu.

Kepulangan kumpulan ini ke tanah air disambut ahli keluarga dan rakan taulan. - Astro AWANI

Pelbagai cabaran yang datang tidak menjadikan misi murni mereka itu terhalang malah ia dijadikan sebagai cabaran demi mencapai hasrat untuk ke lokasi idaman setiap umat Islam di dunia ini.

Berdepan faktor cuaca dan keselamatan, mereka mengakui sentiasa menerapkan amalan berhati-hati dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kebarangkalian.

“Ada tempat-tempat yang laluannya yang sangat sukar sehingga jarak yang lebih kurang 40 kilometer pun kami terpaksa mengambil masa sehingga 8 jam. Bukan kami sengaja begitu.

“Faktor muka bumi menyebabkan kami tak boleh nak bawa laju, cuma guna gear 1 dan 2 selama 3 hingga 4 jam, malah sampai berhari-hari begitu,” ujar Diami yang turut memberitahu, mereka perlu menggagahkan diri menempuh keadaan mencabar seperti ribut pasir dan cuaca yang sejuk.


Pelbagai cabaran ditempuhi kumpulan konvoi ini dalam perjalanan mereka ke Tanah Suci. - Astro AWANI

Perjalanan sepanjang 14,000 kilometer dan merentasi lapan buah negara itu telah menelan belanja sebanyak RM40,000 bagi setiap seorang daripada mereka.

Menurut Diami yang juga Presiden Kelab Motosikal Chopper Garage Kelantan, mereka tiba di Arab Saudi setelah 86 hari perjalanan, 26 hari lewat daripada jangkaan awal mereka berikutan pelbagai faktor yang ditempuh sepanjang perjalanan.

Mereka juga turut menerima sumbangan dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Istana Negeri Kelantan.

Tambahnya lagi, pengembaraan tersebut memberi seribu makna dan memori kepada mereka sebagai sebuah pasukan dalam mencapai visi dan misi kembara menuju ke tanah suci Mekah.

Catatan kembara ke Tanah Suci dan kepulangan mereka ke tanah air boleh diikuti di laman Facebook 'Gi Mekoh Nga Mutor'.