KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa plaza tol di lebuh raya utama masih lagi lancar dan terkawal setakat jam 7 pagi ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi ciapan di akaun Twitter memaklumkan aliran trafik di semua lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang termasuk Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) juga lancar dan terkawal.


Sementara itu, aliran trafik di beberapa lokasi seperti di Plaza Tol Gombak, Selangor dan Bentong, Pahang serta laluan mendaki di Genting Sempah, Pahang masih lagi lancar dan terkawal.



Selain itu, aliran trafik di sepanjang lebuh raya di sekitar Plaza Tol Sungai Besi, Serdang, Selangor; Plaza Tol Skudai dan Plaza Tol Kempas, Johor juga lancar.


Katanya, aliran trafik turut lancar di sekitar Plaza Tol Karak, Pahang dan Kuala Terengganu, Terengganu.

LLM bagaimanapun berkata kerja pengalihan dan pembersihan nahas di Kilometer 14.4 arah utara di Nilai Utara ke Bandar Serenia masih dijalankan dan lorong kiri ditutup.

Dalam masa yang sama, terdapat insiden kereta terbakar di laluan Terowong Menora ke Ipoh Utara di Kilometer 267.5 arah selatan menyebabkan lorong kecemasan terhalang, namun keadaan trafik masih lancar.


Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.

Ia susulan peratusan populasi dewasa di negara ini yang lengkap divaksin sudah mencapai 90 peratus.