NILAI: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta yang sedang berhenti di lorong kecemasan di kilometer 285 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata mangsa berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan lain oleh pembantu perubatan Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Beliau berkata kemalangan berlaku membabitkan kereta jenis Proton Pesona dipandu seorang lelaki berumur 37 tahun dari arah Nilai menghala ke Shah Alam yang pancit tayar belakang sebelah kirl.

"Pemandu kereta tersebut telah berhenti di lorong kecemasan untuk membuat pemeriksaan. Namun, selang beberapa minit, datang sebuah motosikal jenis Honda Vario ditunggang mangsa gagal mengelak dan melanggar belakang kereta itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

-- BERNAMA