LIPIS: Seorang remaja lelaki Orang Asli maut diserang gajah dalam kejadian di Kampung Tual, Pos Sinderut di sini petang tadi.

Kejadian sekitar tengah hari itu telah meragut nyawa Andy Yok Manin, 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.30 petang daripada Tok Batin Kampung Tual yang menyatakan terdapat kematian seorang lelaki di kampung tersebut kerana diserang gajah.

"Mangsa telah diserang oleh seekor gajah semasa mangsa bersama ahli keluarganya berada di dalam kawasan kebun durian di Kampung Tual.

"Serangan gajah dipercayai bermula dari Kampung Regang yang menyebabkan haiwan tersebut dihalau oleh orang kampung.

"Gajah tersebut kemudiannya menghala ke kawasan kebun durian Kampung Tual di mana mangsa berada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas serangan tersebut, keluarga mangsa bertindak membawanya pulang ke rumah sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

Azli berkata, anggota balai polis Sungai Koyan telah membawa mangsa ke unit forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.