Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Km363 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Raub, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian 2.10 petang itu, mangsa S. Manimaran,18, maut di tempat kemalangan manakala pemandu MPV yang berusia 57 tahun cedera ringan di kaki dan muka.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang dari Bentong menghala ke Raub cuba memotong sebuah lori, namun bertembung dengan kereta jenis Hyundai Grand Starex yang berada di laluan bertentangan.

"Kemalangan menyebabkan motosikal jenis Honda EX5 milik bapa mangsa remuk teruk manakala kereta itu remuk pada bahagian kanan depan," katanya semasa dihubungi di sini.

Wan Mohd Zahari berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA