MARANG: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 23, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kelulut, di sini pada Sabtu.

Nahas berlaku kira-kira jam 8 malam itu melibatkan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, dua buah kereta Perodua Myvi, sebuah Proton Saga dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux berkenaan mengundur keluar dari sebuah kedai makan celup tepung.

Menurutnya, dalam masa yang sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki warga emas berusia 76 tahun yang datang dari arah Dungun tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.

"Kejadian itu menyebabkan Proton Saga tersebut terbabas lalu memasuki laluan bertentangan serta terlanggar kedua-dua motosikal dan Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

"Perlanggaran itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang juga penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya di sini pada Ahad.

Beliau berkata, penunggang sebuah lagi motosikal serta pemandu dan penumpang Perodua Myvi dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Jelas Mohd Razman, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 09-6182222.

"Pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas serta berhati-hati semasa memandu," katanya. - Sinar Harian