Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.07 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau digerakkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira 15 kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C berkeluasan lantai 50 X 60 kaki persegi terbakar musnah anggaran 80 peratus.
“Turut terbakar 3 buah kereta iaitu jenis Proton Wira musnah 30 peratus, Toyota Avanza musnah 80 peratus dan Perodua Kancil musnah 80 peratus.
“Terdapat juga enam buah motosikal yang tidak dapat dikenalpasti jenisnya terbakar setiap satu mengalami 90 peratus kemusnahan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, kata Sabarodzi, tiada mangsa yang terlibat.
Menurutnya, komander operasi mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran tiga pancutan bekalan air pam angkut dari air terbuka parit berdekatan dan bantuan tenaga dari BBP Bagan Serai, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Kurau dan PBS Jalan Bawah.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nazrizal Safila Abu Samat tamat jam 5.21 pagi.