Cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat insiden 13 Mei 1969 dilihat sebagai sesuatu yang sia-sia.
 
Pandangan itu disuarakan oleh seorang Ahli DAP yang juga anak bekas Naib Pengerusi parti itu, Allahyarham Ahmad Nor, Amran Ahmad.
 
Beliau berpendapat bahawa senario masyarakat ketika ini menerima rusuhan kaum lebih empat dekad lalu itu sekadar coretan di dalam lipatan sejarah yang tidak perlu dibincangkan lagi.
 
"Mengadakan RCI 13 Mei akan mengundang lebih banyak kecelaruan di dalam minda masyarakat Malaysia dan ini pastinya tidak baik kepada rakyat terutamanya golongan muda," kata Amran.
 
Tegas beliau, Malaysia tidak perlu mengimbau semula sejarah-sejarah silam kerana kepentingan politik semata-mata.
 
"Golongan muda sekarang makin hari makin bercelaru tentang apa yang terjadi di dalam rusuhan kaum itu," kata Amran yang terus menanam hasrat untuk bertanding di dalam pemilihan semula jawatankuasa pusat CEC DAP yang sebelum ini sarat dengan kontroversi.
 
Amran menepis kenyataan Kit Siang pada Jumaat yang menyeru Kabinet supaya menubuhkan dengan tujuan untuk menyembuhkan luka paling buruk dalam rusuhan kaum yang berlaku dalam insiden 13 Mei 1969.
 
Ketua Parlimen DAP itu berkata RCI ini bukan bertujuan menghukum tetapi untuk memecahkan tembok perkauman yang tidak berpenghujung dalam negara.
 
Gesaan Kit Siang itu bertitik tolak daripada persoalan yang berbangkit mengenai filem Tanda Putera yang bakal ditayangkan pada 29 Ogos ini.