PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat diberitahu bahawa pihak pendakwaan masih menunggu arahan daripada Peguam Negara berhubung status representasi dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya menggugurkan rayuan dalam kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara.

Peguam, Aiman Abdul Rahman mewakili Ahmad Zahid memaklumkan demikian selepas pengurusan kes menerusi aplikasi Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Aiman berkata, mahkamah menetapkan 18 September depan untuk pengurusan kes seterusnya.

"Jabatan Peguam Negara memerlukan masa untuk menimbangkan representasi yang dikemukakan anak guam supaya pihak pendakwaan menghentikan rayuannya itu," katanya ketika dihubungi.

Selain Aiman, Ahmad Zahid turut diwakili peguam, Hamidi Mohd Noh manakala Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong hadir selaku perayu.

Pada 26 September 2022, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan kes rasuah itu.

Dalam petisyen rayuan difailkan 29 Disember tahun sama, perayu mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.

Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN. - Sinar Harian