KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu rasuah di Malaysia kini sudah menjadi pemasalahan sistemik.

Mengimbau kenyataan yang pernah dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berkait rasuah, Anwar berkata, ia kini membarah di Malaysia.

"Alhmarhum Tun Razak pernah sebut, negara ini mengalami permasalahan besar iaitu 3C. Maknanya, soal rasuah (corruption) sudah dikesan, fahaman komunis (communism) dan sistem komunalisme (communalism) iaitu isu perkauman yang bangkit dan belum terhakis," kata Anwar ketika membahaskan Titah Diraja di Dwan Rakyat, di sini, hari ini. 

"Beliau (Tun Razak) berkata, masalah 3C ini akan terus melanda negara kecuali kita ambil tindakan-tindakan tegas," kata Anwar. 

Mengulas lanjut, beliau berkata ada pihak yang mengatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai isu lain kecuali 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dibangkitkan.

Tegasnya, isu 1MDB bukan sejarah, sebaliknya perkara yang berterusan.

"Kita bangkit dan Yang di-Pertua memberi izin dibahaskan (semalam) adalah kerana terdapat fakta baharu yang dikemukakan di mahkamah Amerika Syarikat.

"Apabila diteliti lagi, pembongkaran (Tim Leissner) itu harus mencuit perasaan kita dan menggesa rakyat bangkit menolak (rasuah).

"Maknanya, kalau kita lihat kisah 1MDB, isu rasuah yang diberi amaran oleh Tun Razak setengah abad yang lalu sudah menjadi sistemik, hampir dibudayakan.

Tegasnya, adalah mustahil isu 1MDB boleh berlaku jika tidak ada kerosakan dalam seluruh sistem.