PUTRAJAYA: Harga diesel akan diselaraskan mengikut pasaran semasa, bermula tengah malam ini (Isnin, 10 Jun), dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.


Ringkasan AI
  • Harga diesel akan diselaraskan mengikut pasaran semasa, bermula tengah malam ini pada 10 Jun, dengan harga permulaan ditetapkan pada RM3.35 seliter di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia.
  • Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyatakan bahawa penyesuaian harga diesel dilakukan berdasarkan harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024. Beliau menegaskan bahawa langkah ini diambil untuk mengurangkan kerugian kerajaan yang kian meluas, yang mencapai RM14.3 bilion pada tahun lepas.
  • Kerajaan juga akan mengamalkan penyasaran subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, termasuk menetapkan harga kepada sektor yang layak seperti logistik. Selain itu, bantuan BUDI Madani diperuntukkan kepada individu yang layak, termasuk pemilik kenderaan diesel dan petani kecil, serta permohonan boleh dibuat melalui laman web yang disediakan.


Harga berkenaan ialah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024, mengikut formula automatic pricing mechanism yang sedia ada.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sidang media khas di Putrajaya pada Ahad berkata, Kerajaan akan mengumumkan harga seterusnya mengikut amalan biasa, iaitu pengumuman harga RON95, RON97 dan diesel setiap Rabu.

Melalui penetapan harga dan pelaksanaan subsidi berdasar ini, beliau berkata, kerajaan menjangka pengurangan serta-merta kerugian aktiviti ketirisan yang boleh membawa penjimatan RM4 bilion setahun.

“Penjimatan diperoleh Kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan lebih banyak sumber untuk disalurkan dalam sektor kritikal lain, yang secara langsung akan tingkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan, dan pendidikan untuk anak-anak kita.

“Sekali lagi, saya ingin memohon, mengingatkan rakyat Malaysia yang layak (supaya) mohon bantuan tunai BUDI Madani. Yang memohon pada bulan Jun akan layak terima bantuan tunai untuk bulan itu, dan seterusnya. Yang terlepas, akan layak terima bantuan untuk bulan permohonan dan seterusnya,”  katanya lagi.



Amir Hamzah berkata, ketirisan subsidi diesel dilihat kian berleluasan sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit, dan Kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM14.3 bilion bagi subsidi diesel pada tahun lepas.

Beliau berkata, Malaysia tidak mampu untuk terus menampung kerugian sebesar itu, sedangkan ia sepatutnya dapat digunakan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, serta membangunkan negara.

Menyentuh mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, Amir Hamzah berkata, Kerajaan akan menetapkan harga diesel kepada sektor yang layak seperti logistik, melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 menggunakan kaedah fleet card, dengan penetapan harga RM2.15 seliter.

Tambahnya lagi, Kerajaan bersetuju untuk membuka kategori tersebut kepada 23 lagi jenis kenderaan termasuk yang mengangkut hasil pertanian, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sementara itu beliau berkata, SKDS 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat seperti bas sekolah, bas ekspres, ambulans, dan bomba kekal pada harga RM1.88 seliter, manakala bagi nelayan berkelayakan ialah RM1.65 seliter.

Sekiranya berlaku perubahan pada pasaran diesel, sehingga menyebabkan harga pasaran meningkat mendadak, beliau berkata, Kerajaan akan melihat cara yang terbaik untuk menstabilkan harga.

Dalam pada itu Amir Hamzah berkata, kumpulan pertama yang meliputi lebih 30,000 penerima bakal memanfaat bantuan BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM200 yang didepositkan ke dalam akaun bank mereka pada Isnin.

“Individu layak yang belum memohon BUDI Individu atau BUDI Agri-Komoditi masih boleh menerima bantuan bagi bulan Jun 2024 sekiranya mereka membuat permohonan sebelum akhir Jun 2024,” katanya lagi.

Sementera itu, Kementerian Kewangan dalam siaran media susulan berkata, Kerajaan menyarankan  pemilik kenderaan diesel, petani kecil dan pekebun kecil komoditi yang layak untuk memohon BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my.

Pemilik kenderaan logistik yang layak juga boleh memohon untuk mendapatkan fleet card di bawah SKDS 2.0 di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.