1. Pada 27 April, Nayati Shamelin Moodliar, 12 telah diculik ketika berjalan menuju ke sekolahnya Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Kuala Lumpur. Saksi kejadian mengatakan Nayati telah dilarikan dan dibawa masuk ke dalam sebuah kereta sekitar jam 7.30pagi. Wang tebusan sebanyak RM1 juta telah dituntut oleh penculik. Siasatan polis akhirnya berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita di Ipoh, Perak dan memburu dua lagi lelaki dipercayai perancang utama kes itu.


2. Pada 19 Julai, seorang lelaki Khalil Afandi Abd Hamid yang dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahadi dan seorang wanita, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhdalena Ahmad, 28 telah bersenjatakan pedang samurai dan mengamuk di Perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Kedua-duanya kemudiannya cedera akibat ditembak oleh polis. Khalil bagaimanapun meninggal dunia di hospital sementara Muhdalena mengalami kecederaan di pahanya.



3. Pada 1 Mac, seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Nadirah Abdullah atau lebih mesra dipanggil Dirang telah dilaporkan hilang oleh keluarganya ketika berjalan ke kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di Pasir Gudang. Namun, pada 8 Mac, mayat Dirang telah ditemui dalam keadaan terbakar di sebuah ladang kelapa sawit Nusa Damai, Seri Alam tidak jauh dari tempat dia tinggal. Polis kemudiannya menahan empat suspek termasuk seorang wanita berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun. Motif pembunuhan dipercayai dendam peribadi terhadap keluarga mangsa.


4. Pada 29 September, seorang deejay radio, Julie Diana Omar Shariff, 34, atau dikenali sebagai JD telah diculik pada jam 1 pagi, di Danga Bay ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya. Namun beliau bernasib baik apabila sebaik sampai di lokasi dimana beliau dikatakan akan dibunuh, keempat-empat penjenayah itu tidak sampai hati untuk mebunuhnya dan sekaligus membebaskan beliau. Susulan itu, polis telah menahan tujuh lelaki termasuk lima orang yang telah diupah untuk menculik Julie Diana. Motif penculikan dipercayai kerana cinta tidak berbalas.


5. Pada 25 Oktober, dua rakyat Malaysia dipercayai anggota kumpulan al-Qaeda ditahan di Beirut Hamra, Lubnan kerana disyaki merancang melakukan serangan ganas di negara berkenaan. Suspek, Rafik Mohammed Aaref dan Mohammed Razin Shaaban ditangkap oleh perisikan tentera darat negara itu di sebuah hotel di Beirut Hamra. Mereka didakwa merancang untuk melakukan serangan berani mati di Syria.

6. Seorang eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Nur Syaleza Jaffar ditemui mati di kediamannya di Damansara Damai pada 28 Julai. Mayat mangsa ditemui tergantung di dalam biliknya. Polis kemudiannya menahan suami mangsa, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, seorang eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak untuk siasatan lanjut.


7. Seorang rakyat Malaysia, Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26 dipercayai anggota militan telah ditembak mati oleh polis Filipina di Davao pada 14 Disember. Suspek dikatakan bergelut dengan polis yang curiga dengan pergerakkannya ketika mahu memeriksa kandungan beg sandang yang dikatakan berisi bom buatan sendiri. Isteri mangsa, Annabel Nieva Lee, warga Filipina turut ditahan polis untuk siasatan.


8. Dua anggota polis cedera parah, seorang penjenayah ditembak mati dan seorang bayi berjaya diselamatkan dalam insiden yang berlaku di Gua Musang pada Nov 1. Kejadian berlaku apabila suspek, Zawa Abdul Halim, 34, berasal dari Pasir Mas dan dipercayai ketua kumpulan curi kenderaan dan samun bersenjata di Kelantan bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas melepaskan tembakan ke arah polis setelah kereta yang dicuri terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis.Tembakan mengena L/Kpl Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, dan Mat Raduan Mat Hassan, 50 menyebabkan kedua-dua anggota polis itu cedera. Polis yang menjejaki suspek berjaya menembak mati suspek.

9. Dua anggota polis, Koperal R.Subramaniam, 52 dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41 cedera ditembak oleh seorang lelaki ketika menjalankan tugas di Jalan Klang Lama pada 30 September. Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu telah menahan sebuah kereta dimana didalamnya terdapat empat lelaki dalam keadaan mencurigakan. Salah seorang dari suspek kemudiannya mengacukan pistol ke arah mangsa dan menembaknya. Berikutan itu, polis berjaya menjejaki suspek dan menembak mati seorang dari suspek di Taman Desa Waterpark beberapa hari kemudiaan.

10. Pada 13 Disember, polis menahan seorang mekanik, T.Rajasegaran,32, bapa tiri kepada seorang kanak-kanak lelaki yang didera dimana perbuatan dera itu telah dirakam dan di muat naik ke dalam laman YouTube. Kejadian berlaku di rumahnya di Taman Mas, Kapar di Klang selepas menerima laporan seorang kenalan suspek yang menonton klip video itu. Rajasegaran kemudiannya telah dihadapkan ke mahkamah tanpa dibenarkan untuk diikat jamin.