Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan diumumkan Isnin depan (18 Mac).
Bernama
Tue Mar 12 2013
Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan diumumkan Isnin depan (18 Mac).
Menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 12 tengah hari manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.
Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULTNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.
Keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari, hari yang sama.
Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada pada 12 tengah hari, hari yang sama di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.
Pada 2012, seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan STPM di 760 pusat pemeriksaan pada 2012 dan daripada jumlah itu, 47,708 adalah calon sekolah kerajaan, 1,112 calon sekolah swasta, 2,795 calon persendirian dan 58 calon sekolah kerajaan negeri.
Sementara itu, calon yang menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 boleh menyemak keputusan mereka dengan melayari laman web MPM atau menghantar SMS pada 21 Mac ini.