MOSCOW: Rancangan Jepun untuk mengitar semula dan melupuskan tanah radioaktif dari loji janakuasa nuklear Fukushima-1 (NPP) mematuhi piawaian keselamatan, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), lapor Sputnik.


Ringkasan AI
  • Jepun merancang untuk mengitar semula dan melupuskan tanah radioaktif dari loji nuklear Fukushima-1, mematuhi Piawaian Keselamatan IAEA.
  • Kira-kira 13 juta meter padu tanah dan 300,000 meter padu abu telah dikeluarkan daripada Wilayah Fukushima, dan pelupusan baki tanah dijangka selesai menjelang 2045.
  • Jepun merancang untuk mengitar semula 75% tanah radioaktif yang rendah tahap, manakala baki tanah akan dilupuskan secara kekal dengan pemilihan tapak dijangka disahkan pada 2025.


"Pendekatan Jepun untuk mengitar semula dan melupuskan tanah serta sisa radioaktif daripada aktiviti dekontaminasi selepas insiden Stesen Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi (FDNPS) pada 2011 seperti yang dirancang adalah konsisten dengan Piawaian Keselamatan IAEA... Penemuan yang dibentangkan oleh IAEA kepada Menteri Alam Sekitar Jepun Shintaro Ito hari ini adalah hasil daripada tinjauan keselamatan selama 16 bulan," menurut agensi itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kira-kira 13 juta meter padu tanah dan 300,000 meter padu abu daripada pembakaran bahan organik telah dikeluarkan sebagai sebahagian daripada kerja dekontaminasi di Wilayah Fukushima, menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa pelupusan akhir baki tanah dijangka diselesaikan di luar Wilayah Fukushima menjelang 2045.

"Jepun merancang untuk mengitar semula kira-kira 75 peratus daripada tanah yang dibuang - tanah yang mempunyai tahap radioaktif yang rendah - dengan menggunakannya jika terbukti selamat untuk struktur kejuruteraan awam," menurut kenyataan itu.

Menurut agensi itu, baki tanah yang tidak boleh dikitar semula akan dilupuskan secara kekal dengan Jepun menyasarkan untuk mengesahkan pemilihan tapak itu pada 2025.

-- BERNAMA