Fokus utama di dada-dada akhbar tempatan hari ini adalah pemergian bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tajuk-tajuk utama dan juga gambar yang digunakan tidak jauh berbeza daripada segi suntingan akhbar masing-masing.

Antara yang menjadi perhatian ialah akhbar Utusan Malaysia yang menjadikan “Ribuan Beri Penghormatan” sebagai tajuk utama.

Utusan Malaysia dan Berita Harian
Tajuk utama Utusan Malaysia dan Berita Harian


Ia diikuti dengan gambar jenazah Allahyarham dibawa dan diiringi oleh ribuan masyarakat sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pulau Melaka.

Akhbar Berita Harian menjadikan “Bersatu Iringi Jenazah” sebagai tajuk utama.


Kosmo, Harian Metro, dan Sinar Harian
Tajuk utama Kosmo!, Harian Metro dan Sinar Harian


Seluruh dada akhbar Sinar Harian memberi tumpuan kepada Allahyarham dengan tajuk “Ramai Sayang Tok Guru”.

Kosmo! pula memilih tajuk "50,000 orang hadiri pengebumian Nik Aziz," sebagai paparan muka depan manakala Harian Metro memilih tajuk “Pesan Terakhir Tok Guru”.


New Straits Times, The Star
Tajuk utama The Star dan The New Straits Times

Bagi akhbar bahasa Inggeris, The New Straits Times tampil ringkas dengan tajuk “Al-Fatihah” manakala The Star hanya mengkhususkan satu sudut kecil di sebelah atas kanan muka hadapan dengan tajuk “Paying Their Respects (Memberikan Penghormatan Terakhir).

Malay Mail
Tajuk utama The Malay Mail

“Love To The End” (Sayang hingga akhir hayat) merupakan tajuk utama akhbar Malay Mail, yang juga menampilkan gambar pandangan atas di Masjid Pulau Melaka, Kota Bharu.

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat disemadikan pada jam 11 pagi Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disempurnakan di Masjid Pulau Melaka pada jam 10 pagi dan dianggarkan hampir 30,000 orang hadir di Masjid tersebut untuk bersama-sama melakukan solat jenazah.

Perdana Menteri Datuk Najib Razak antara yang paling awal hadir ke pengebumian Mursyidul Am PAS itu.