SUATU waktu dulu selain tuntutan ibadat dalam Islam, berpuasa pada bulan Ramadan menjadi satu entiti budaya dalam masyarakat Melayu.

Inilah tuntutan agama yang dilakukan selari dengan elemen budaya orang Melayu.

Bulan Ramadan disambut dengan  kemeriahan  yang luar biasa.  Hal ini disebabkan orang Melayu sebenarnya tidak ada acara yang bersifat festive kecuali Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Oleh hal yang demikian kedua-dua ini  - Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai pesta dalam lingkungan elemen budaya..

Malah ketika ini, di sesetengah kampung masih lagi mengamalkan budaya Melayu dalam menyambut dan menyempurnakan ibadat berpuasa bulan Ramadan.

Misalnya, di sesetengah tempat mengejutkan orang supaya bangun sahur dengan bergendang di sekeliling kampung.

Sementara persiapan untuk berbuka puasa pula ada yang melakukan secara bergotong-royong, bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga dan sesetengah juadah tradisi hanya dibuat pada Ramadan sahaja.

Maknanya melangkah ke bulan Ramadan, secara tidak langsung kita melalui gerbang budaya Melayu.

Bukan sahaja di kampung malah penerapan elemen budaya pada bulan Ramadan masih wujud di bandar termasuk yang metropolitan seperti Kuala Lumpur.

Banyak juadah tradisi kembali menemui masyarakat  juadah di bazar Ramadan.

Selain yang moden, juadah tradisi seperti bubur lambuk, roti jala, tepung pelita dan murtabak dijual di mana-mana.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Mengisi Ramadan dengan elemen budaya Melayu bukanlah menjadi satu kesalahan dengan syarat tidak menenggelamkan tuntutan utamanya dalam Islam.

Berpuasa pada bulan Ramadan adalah tuntutan Islam. Perkara-perkara di sekitar hal yang wajib itu perlu selari dengan agama.

Bagaimanapun, disebabkan perubahan sosial yang berlaku dengan pesatnya, elemen yang baik dalam budaya Melayu dalam menyempurnakan Ramadan juga ikut berubah.

Kemudian diganti dengan nilai-nilai semasa yang condong pada kebendaan dan pembaziran.

Semakin nipis elemen budaya Melayu, semakin tergelincir Ramadan dari paksinya.

Walaupun dalam konteks budaya Melayu menyambut kedatangan Ramadan adalah suatu yang bersifat festive yang ada elemen-elemen budaya dan kepestaannya, tetapi amat menyimpang daripada pembaziran. 

Dalam konteks agama juga, pembaziran adalah suatu yang amat dilarang.

Dalam konteks budaya juga orang Melayu mempunyai etika dan adab makan yang tersendiri antaranya tidak berlebihan, berhemah dan paling penting tidak wujud pembaziran. 

Kalau dilakukan juga, itu bukan tuntutan Islam dan juga budaya Melayu.

Apabila merentas dari zaman ke zaman, nilai-nilai budaya Melayu yang unggul dalam menyambut Ramadan menjadi semakin cair, terpesong dan secara tanpa sedar pula disusupi nilai-nilai konsumerisme.

Dalam konsumerisme ada gaya hidup berpaksi kebendaan dan pembaziran antara ciri-cirinya.

Pembaziran menjadikan ibadat berpuasa pada bulan Ramadan menyimpang  daripada laras yang dituntut oleh agama dan juga budaya Melayu.

Nilai-nilai konsumerisme yang tumbuh selari dengan kemajuan dan permodenan masyarakat kemudian menjadi pemangkin penyelewengan terhadap pengertian Ramadan.

Ibadat berpuasa bulan Ramadan sebenarnya boleh digunakan sebagai peluang untuk menumpang pengalaman derita dan ketidakmampuan orang miskin waima untuk makan. 

Kalau kita yang mampu makan dam minum dengan secukupnya, malah ada berlebihan, orang miskin terpaksa berlapar sepanjang tahun.

Maka Ramadan semestinya menginsafkan. Kalau tidak boleh menolong mengeluarkan saudara seagama dari belenggu kemiskinan, timbul rasa keinsafan pun sudah cukup – setidak-tidaknya membetulkan diri sendiri memahami kesusahan orang lain.

Walaupun Ramadan menjadi salah satu entiti budaya dan juadah tradisi diangkat kembali, tetapi ini bukanlah acara pesta makan besar selama sebulan.

Sebaliknya, Ramadan adalah ruang untuk kembali ke pangkal jalan -  sedar akan hakikat takdir ke atas manusia lain yang tidak sebaik kita.

Tradisi Melayu tidak pernah melupakan mereka yang kurang bernasib baik, tidak berkemampuan untuk makan bagi keperluan sebagai manusia biasa.

Maka pembaziran ketika Ramadan adalah keangkuhan tanpa sedar kerana berkemampuan.

Itu bukan sifat Ramadan dari sudut agama dan juga budaya.

Sikap begini yang membuatkan setiap kali menjelang bulan Ramadan, bekalan makanan bertambah hampir sekali ganda berbanding biasa. 

Malah ayam dan daging lembu memerlukan bekalan yang lebih besar, sedangkan ketika berpuasa kita kurang satu masa makan - makan tengah hari.

Kalau mengikuti formula matematik, keperluan bahan makanan pada bulan  Ramadan pasti berkurangan.

Ini disebabkan oleh hampir semua umat Islam tidak makan tengah hari dan hanya makan malam dan bersahur. 

Anggaplah bersahur itu sarapan pagi. Sudah tentu keperluan bahan makanan  akan berkurangan.

Bagaimanapun, memahami sikap sesetengah pihak dalam menyambut Ramadan,  formula matematik tidak  benar sama sekali.

Bukan disebabkan ketidakmampuan formula matematik, tetapi sikap yang menyeleweng terhadap tuntutan Ramadan yang sebenar.

Tradisi baharu menyambut bulan puasa adalah bazar Ramadan. Pembaziran banyak berlaku selepas bazar Ramadan menjadi satu tradisi yang bermula di bandar-bandar. 

Bagaimanapun, bazar Ramadan ada keperluan yang tersendiri.  Dalam persekitaran masyarakat yang berkerjaya, bazar Ramadan menyediakan  kemudahan mendapatkan juadah untuk berbuka puasa.

Bagaimanapun, kewujudan bazar Ramadan telah disalah guna sebagai punca pembaziran.
Inilah konsumerisme di mana pengguna terperangkap dengan gaya hidup menjurus boros dan membazir. Ini satu kegagalan membimbing diri supaya tidak tergelincir daripada landasan Ramadan.

Membazir memang satu gaya hidup yang menyeronokkan, apa lagi kepada mereka yang terlebih mampu.

Keseronokan membeli  yang tidak terkawal didesak oleh naluri berpuasa  sebenarnya bukan satu sifat yang baik. Tidak kiralah sama ada jutawan atau golongan B40.

Konsumerisme juga telah mencetuskan satu gaya hidup baharu untuk berbuka puasa di hotel-hotel atau restoran ternama. 

Kapitalisme dan konsumerisme adalah adik beradik.  Kedua-duanya bergerak serentak.  Kapitalisme menggunakan konsumerisme untuk mencari keuntungan.

Dalam konsumerisme ada satu gaya hidup yang mementingkan jenama, standard yang tinggi dan berketerampilan berbanding orang lain.

Apabila sudah ada gaya hidup begini, banyak syarikat korporat malah sektor perhotelan menjadikan Ramadan sebagai sumber keuntungan.

Seperti semua orang tahu, belanja seorang makan di hotel boleh biaya makan lebih sepuluh orang di gerai.

Banyak syarikat korporat, parti politik malah  sesetengah kementerian menganjurkan majlis berbuka puasa mewah di hotel-hotel.

Hal ini berlaku sebelum 2020 di mana negara terkepung dengan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika itu berbuka puasa di hotel juga sudah menjadi satu gaya hidup baharu pada bulan Ramadan.

Majlis berbuka puasa sudah menjadi satu acara untuk syarikat korporat mengeratkan hubungan dengan pihak yang sama kepentingan dalam perniagaan. 

Sedangkan di tepi kaki lima hotel ada orang yang tidak cukup makan dan merekalah yang lebih berhak makan di situ.

Berbelanja besar untuk berbuka puasa  adalah tergelincir daripada maksud Ramadan yang sebenar.

Kita tidak mampu tumpang merasa kegelisahan golongan yang  berlapar kerana tidak mampu.

Tetapi kita, walaupun berlapar pasa siangnya, tetapi makan besar hingga membazir pada malamnya.

Statistik menunjukkan lebih kurang 20,000 tan sisa makanan dibuang setiap hari di seluruh negara pada bulan Ramadan.

Jumlah itu adalah penambahan sebanyak 20 berbanding hari biasa. Bayangkan 20 peratus daripada 20,000 tan sehari dibuang oleh umat Islam pada bulan Ramadan.

Kenapa harus ada sisa buangan makanan pada bulan Ramadan? Jumlah yang sebanyak itu memberikan gambaran berlakunya pembaziran dengan sewenang-wenang.

Lebih memalukan apabila  perkara yang dibenci oleh Islam iaitu pembaziran dilakukan oleh umat Islam.

Kita perlu membetulkan kembali tujuan berpuasa pada bulan Ramadan dan meletakkan pada landasan yang sebenar.

Ramadan tidak terpesong walaupun menjadi satu entiti budaya Melayu.

Tetapi yang memesongkan adalah penyusupan nilai-nilai konsumerisme  dan gaya hidup yang mementingkan kebendaan. Hal-hal inilah yang mewajarkan pembaziran dilakukan tanpa rasa bersalah.


* Ku Seman Ku Hussain ialah seorang wartawan bebas.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.