Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyeru umat Islam di negeri ini supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ketika meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha, hari ini.

Baginda berdua bertitah, rakyat juga seharusnya meraikan perayaan itu secara sederhana serta masih perlu berwaspada bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

"Umat Islam turut diseru menjalankan ibadah korban kali ini dengan tertib dan berhemah sebagaimana yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Semoga dengan tertunainya ibadah korban dan hikmah memperingati Aidiladha, umat Islam terutamanya, dapat menjadi contoh terbaik kepada setiap umat manusia," titah baginda berdua dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Selangor Royal Office, pada Khamis.

Baginda berdua juga sentiasa mendoakan seluruh rakyat dijauhi daripada malapetaka dan bencana, selain berdoa semoga wabak COVID-19 dapat dihapuskan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

-- BERNAMA