Rakyat Malaysia perlu belajar hidup dalam keadaan kebebasan yang terkawal jika mahu mewujudkan negara yang lebih baik.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kebebasan yang terlalu banyak akan membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi kebebasan.

Jelasnya kebebasan internet menyebabkan masyarakat cenderung mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi sekaligus menyebabkan ketidakstabilan negara.

“Apabila kita mempunyai kebebasan mutlak masyarakat sering menyalahguna kebebasan dengan pemikiran apabila anda memberikan kebebasan tidak apa yang akan berubah.

“Tetapi apabila anda memberi kebebasan, mereka kemudian akan menyalahgunakannya dan hari ini kita lihat orang ramai memprovokasi satu sama lain dengan kenyataan yang tidak akan menyebabkan kita semakin erat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup Ceo Forum 2013 Di Berjaya Times Square Convention Centre.

Isu sensitif seperti perkauman yang kerap dibangkitkan sejak kebelakangan ini disebabkan ketiadaan undang-undang seperti akta keselamatan dalam negeri.

Jelasnya rakyat Malaysia perlu mengadakan kawalan kendiri bagi memastikan negara kekal harmoni.
Dalam masa sama turut mengakui kesilapannya kerana memberi jaminan tidak akan menyekat kebebasan internet sebelum ini.

“Ketika saya mengetuai MSC, saya ditanya oleh seorang wanita Amerika sama ada kami akan menyekat internet, saya beritahu dia tidak, kami akan menjadi sangat bebas tapi kini saya terpaksa berfikir dua kali,” katanya lagi.

Semasa menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir memperkenalkan ‘Koridor Raya Multimedia’ (MSC) pada tahun 1997 yang mengabungkan industri teknologi maklumat.