Kepentingan negara kecil boleh dipertahankan seandainya mereka bersatu di dalam sebuah organisasi serantau yang berjaya ditubuhkan iaitu ASEAN.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ASEAN juga telah mencatat rekod di mana tiada negara yang meninggalkan organisasi berkenaan selain menimbulkan minat penyertaan dari negara di kawasan berbeza.

"Walaupun pada masa ini negara-negara ASEAN mungkin tidak mencatatkan pertumbuhan KDNK dua digit tetapi ia bukan kesengsaraan serantau namun merupakan fenomena global. 'Harimau Asia' masih ada walaupun sesetengah mungkin telah berhibernasi untuk sementara waktu. Mereka akan bangun dan menuntut semula kedudukan mereka.

"Komuniti ASEAN mempunyai penduduk kira-kira 660 juta dan separuh darinya di bawah 30 tahun. Pada tahun ini, Komuniti ASEAN diunjurkan untuk menjana kuasa pembelian, KDNK USD9 trilion.

"Dalam tempoh lima tahun, jumlah itu diunjurkan berkembang sehingga USD13 trilion dan semua ini tidak mustahil tercapai dari gabungan damai, keamanan dan kestabilan di rantau ini," katanya semasa ucaptama Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 bertajuk "New Malaysia in A Changing Regional Order" di sini, pada Selasa.

Paling penting kata Dr Mahathir, semua negara perlu berkongsi prinsip asas iaitu saling menghormati, bekerjasama, kesamaan kedaulatan dan kemakmuran serantau yang sama dan kesejahteraan.

"Apabila terdapat pertikaian, kita pergi ke meja dan berbincang dan berunding. Sekiranya kita gagal, kita mengambil tindakan timbang tara atau pergi ke mahkamah antarabangsa keadilan.

"Selama 52 tahun, ASEAN telah menjadi komuniti yang berkembang maju di rantau yang stabil dan aman. Pertikaian telah diuruskan walaupun ada beberapa yang belum diselesaikan.

"Bagi banyak negara anggota ASEAN, ASEAN cukup penting untuk menjadi faktor utama dalam pembentukan dasar luar mereka," jelasnya.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) -China memberi kesan kemerosotan perdagangan dengan prospek memburuk bakal menjadi Perang Dingin jangka panjang.

Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-33 yang berlangsung tiga hari bermula Isnin membincangkan pelbagai isu mengenai geopolitik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

Ia anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan ASEAN-ISIS, ia bertemakan “A Great Unwinding? Rules-Based Regional Security Order to 2020 and Beyond.”


Kira-kira 300 perwakilan menyertai APR tahun ini untuk membincangkan pelbagai topik, termasuk keselamatan, kemapanan dan kemakmuran rantau Asia-Pasifik.

Antara perkata yang dibincangkan termasuk isu baharu dan tidak pernah terjadi sebelum ini yang menyumbang kepada ketidakstabilan dunia seperti persaingan teknologi dalam era digital.

APR satu persidangan keselamatan paling penting dan inklusif di rantau ini, dan agendanya selama beberapa dekad mencerminkan perubahan corak perdamaian dan konflik di rantau Asia Pasifik.

Antara topik lain yang dibincangkan ialah Perkongsian Asia-Eropah, Kawalan Senjata Nuklear, Semenanjung Korea dan Krisis Kemanusiaan Rohingya.

Persidangan meja bulat itu juga membincangkan mengenai isu China, seperti peranannya dalam komuniti global untuk dekad akan datang.

APR diadakan setiap tahun sejak 1987.