KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di seluruh negara pada Sabtu terus bersuara lantang menyatakan solidariti mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin menuntut hak kedulatan negara mereka, serta mengecam kezaliman rejim Israel di Gaza.

Selain mengadakan perhimpunan, rakyat Malaysia di pelbagai pelusuk tanah air turut mengadakan perarakan dan konvoi bermotosikal, bagi menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin yang kini menderita akibat tindakan zalim rejim Zionis berkenaan.

Di Kuantan, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru semua rakyat negeri itu untuk menunjukkan sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap Palestin, kerana isu Palestin juga berkait kemanusiaan dan bukannya keagamaan semata-mata.

"Jangan putus asa dalam menyatakan sokongan kita. Kita teruskan bantah kezaliman yang berlaku terhadap rakyat Palestin mengikut keupayaan kita, termasuk sokongan di media sosial. Kezaliman ini perlu dihentikan," katanya pada Himpunan Pahang4Palestine di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan, semalam.

Himpunan yang dihadiri ribuan rakyat Pahang itu, antara lain melibatkan ucapan serta bacaan Qunut Nazilah oleh Timbalan Mufti Pahang Datuk Badli Shah Alauddin, ucapan aktivis Farrah Adeeba Mohamed Ashraf dan Heliza Helmi serta adiknya Hazwani, selain persembahan nasyid.

Di Kota Kinabalu, Kerajaan negeri Sabah pula menyumbang RM300,000 untuk Tabung Kemanusiaan Aman Palestin, bagi membantu rakyat negara itu yang sedang menderita akibat peperangan dan kekejaman rejim Zionis.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan sumbangan itu pada Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin di Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada Sabtu, yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Beliau berkata selain sumbangan kerajaan negeri, pelbagai agensi, badan dan organisasi di Sabah turut menyumbang untuk tabung berkenaan, yang setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM355,000.

"Kita menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka daripada penindasan rejim Zionis, di bumi mereka sendiri. Kita mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan untuk menghentikan kekejaman Zionis Israel. Mereka melakukan kekejaman berpuluh tahun," katanya.

Di Kuching pula Laungan Free Palestine (Bebaskan Palestin)! dan Viva Palestina! (Hidup Palestin) berkumandang di Dataran Perayaan, Kompleks Sukan Sarawak, di sini hari ini, bersempena Himpunan Solidariti Sarawak Bersama Palestin yang menghimpunkan lebih 2,500 peserta tanpa mengira agama.

Pelajar Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak Marlisa Tening, 20, yang menghadiri perhimpunan itu berkata tindakan Israel menyekat keperluan asas, talian telefon dan internet di Gaza, sememangnya kejam dan melanggar hak asasi manusia.

"Saya berdiri bersama Palestin dan yang terjadi di Palestin bukan soal keagamaan, mereka telah menderita angkara Israel," katanya yang merupakan kaum Kenyah dan beragama Kristian.

Pemuda UMNO Ipoh Barat pula menganjurkan konvoi solidariti Palestin, dengan penyertaan kira-kira 40 buah motosikal merentas beberapa daerah sejauh kira-kira 150 kilometer, dan akan singgah di beberapa tempat persinggahan iaitu Tapah, Cameron Highlands dan Simpang Pulai, sambil mengibarkan bendera Palestin serta mengutuk kekejaman Israel.

Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat Muhammad Hamzah Hamdan berkata konvoi itu, selain bergerak mengadakan kutipan tabung kemanusiaan Palestin di setiap tempat yang mereka singgahi, mereka turut menyampaikan bantuan sumbangan barangan keperluan makanan kepada lapan keluarga B40 terpilih.

"Kita mahu masyarakat tahu kekejaman Israel terhadap Palestin dan bersama-sama dengan kita bersolidariti sepanjang perjalanan untuk mengutuk pencabulan Zionis terhadap hak asasi manusia yang mengorbankan banyak nyawa dan insan tidak berdosa," katanya.

Di ibu negara lebih 5,000 orang menyertai Himpunan 10K Solidariti Palestin, bagi menzahirkan bantahan sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap penindasan rakyat Palestin oleh Israel di Kedutaan AS, di Jalan Tun Razak di sini.

Antara nama besar yang hadir perhimpunan berkenaan ialah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang bermula berarak dari Masjid Asy-Syakirin KLCC menuju ke Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat.

"Perhimpunan Solidariti ini bukan hanya menggambarkan kedudukan Malaysia yang terus menyokong Palestin, tetapi ini merupakan suara umat Islam di seluruh dunia yang menentang penindasan rakyat Palestin," kata Sarina Abdul Muiz, 28, yang menyertai perhimpunan itu.

-- BERNAMA