KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di wilayah Kursk, Rusia dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti semua arahan serta nasihat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Moscow.

Kementerian Luar Negeri melalui misi itu dalam satu kenyataan pada Isnin, memaklumkan bahawa mereka sedang memantau dengan teliti perkembangan di wilayah itu.

"Kementerian dan Kedutaan menyedari situasi yang sedang berkembang dan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia yang tinggal atau melawat kawasan itu.

"Adalah penting untuk sentiasa mendapat maklumat terkini tentang situasi semasa melalui sumber yang boleh dipercayai dan mematuhi garis panduan keselamatan tempatan," menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan misi itu digesa berbuat demikian bagi menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya.

Sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan sokongan tambahan, rakyat Malaysia digalakkan menghubungi kedutaan di alamat: Mosfilmovskaya Ulitsa 50, 115127, Moscow, Rusia, atau melalui nombor telefon +7 495 419 9898 / 99, +7 906 746 1333 (kecemasan), dan e-mel mwmoscow@kln.gov.my.

Kementerian akan terus menyalurkan maklumat terkini serta komited membantu warganegara Malaysia, menurut kenyataan itu.

Situasi di Kursk dilaporkan semakin meruncing akibat pertempuran sengit antara tentera Rusia dan Ukraine pada 5 Ogos, sehingga menyebabkan pengisytiharan darurat di wilayah berkenaan.

Konflik itu mengakibatkan kematian dan kerosakan, memaksa pemindahan dan peningkatan langkah keselamatan terutamanya di sekitar infrastruktur kritikal seperti loji kuasa nuklear Kursk.

-- BERNAMA