Semua ahli politik sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat, digesa agar lebih mementingkan agenda negara berbanding berpolitik sepanjang masa.

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mansor Mohamad Noor berkata, selepas pilihan raya, pemimpin politik tidak mengira parti sepatutnya bekerjasama membangunkan negara untuk kepentingan rakyat.

Namun malangnya, di Malaysia, pemimpin politik sama ada daripada BN atau Pakatan Rakyat, tidak mengangkat agenda pembangunan negara hingga membuatkan rakyat bosan.

"Mereka (pemimpin politik) harus sedar bahawa rakyat sudah bosan dengan sikap berpolitik sepanjang masa hingga melupakan agenda pembangunan negara.

"Sudah tiba masanya sikap mahu partikan negara ini dihentikan, sampai bila nak berpolitik sepanjang masa? sepatutnya selesai pilihan raya, sama-sama bangunkan negara.

"Kalau ada kelemahan, jangan dipolitikkan tetapi beri penyelesaian, negara tidak ke mana kalau setiap masalah dipolitikkan tanpa ada penyelesaian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, rakyat menanggung beban akibat sikap pemimpin daripada BN dan Pakatan Rakyat yang sentiasa mempolitikkan semua perkara yang berlaku.

Dr Mansor berkata isu air di Selangor merupakan contoh di mana rakyat menjadi mangsa dan dikorbankan demi kepentingan politik.

"Masalah air di Selangor merupakan contoh mudah, ia adalah masalah yang betul berlaku tetapi akibat menjaga kepentingan politik maka rakyat dikorbankan," katanya.

Demi untuk agenda negara yang lebih bermakna, Dr Mansor menyeru agar pembangkang di Malaysia menjadi lebih bertanggungjawab.

"Mereka (pembangkang) perlu memberi jalan penyelesaian kepada setiap masalah yang dihadapi, contohnya kalau isu air di Selangor, pembangkang di Selangor iaitu BN perlu bersama mencari penyelesaian masalah tersebut.

"Cukup-cukuplah berpolitik, hadkan ketika musim pilihan raya sahaja, bekerjasama bangunkan negara demi rakyat," katanya lagi.