KLANG: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) iaitu darjah kebesaran dan anugerah tertinggi di Selangor yang dikurniakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Darjah kebesaran itu dikurniakan bersempena dengan Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor pada Isnin lepas.

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat dan menyaksikan istiadat khas berkenaan yang diadakan bermula 11.30 pagi.

Pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati telah dizahirkan pada 1961 mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang.

Darjah ini dianugerahkan kepada kaum kerabat diraja di Malaysia selain kepada raja-raja negara lain sebagai tanda penghormatan dan persahabatan yang akrab dengan Sultan Selangor.

Isnin lepas, sebanyak 96 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor bersempena dengan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-78.

-- BERNAMA