Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu lagi kes rabies dikesan di Serian, Sarawak.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaharu itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

“Kanak-kanak itu mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei 2017 di Kampung Saroban iaitu terletak dalam 10km radius daripada kampung di mana kes ketiga rabies berlaku.

“Pada 3 Julai 2017, kes tersebut mengalami gejala demam, sakit di lengan kiri serta kelihatan kurang aktif dan dibawa untuk rawatan ke Hospital Serian.

"Pada 4 Julai 2017, kes dirujuk kepada Hospital Umum Sarawak (SGH) dan dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) SGH kerana semakin kritikal.

"Kes ini telah disahkan mengalami jangkitan rabies melalui ujian makmal pada 11 Julai 2017,” katanya.

Beliau juga berkata mangsa ketiga yang mengalami penyakit itu masih dirawat dan berada dalam keadaan kritikal.

“Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di Daerah Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

“Aktiviti ini dilaksanakan di 86 penempatan, 3284 rumah dan 7583 orang telah disoal siasat bagi mengetahui sejarah gigitan anjing.

“Sebanyak 192 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak Daerah Serian dan telah diberikan rawatan. Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik berusia empat, enam dan tujuh tahun di daerah Serian disahkan dijangkiti rabies.

Dua daripada mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing lebih kurang sebulan atau dua bulan sebelum mula menunjukkan tanda dan gejala, manakala seorang lagi tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sejarah gigitan anjing atau tidak.

Pada 4 Julai lalu, dua beradik Jackson Mazlan, 4, dan kakaknya, Monica, 6, dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian meninggal dunia selepas didiagnosis mati otak akibat rabies.