MAKKAH: Perkhidmatan pusat khidmat pelanggan Tabung Haji (TH) untuk musim haji 1444 Hijrah ditambah baik dengan perkara dibangkitkan jemaah haji dikelaskan dalam lima kategori bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Pengarah Operasi Makkah Mohamad Zamry Mohd Noor berkata kategori itu adalah aduan, permohonan, cadangan, penghargaan dan pertanyaan, sekali gus memudahkan tindakan sewajarnya diambil.

"Dulu kita sukar untuk mengkategorikan yang mana aduan, permohonan atau pertanyaan, ia disatukan semua sekali. Jadi sukar untuk kita analisis.

"Pada tahun ini, kita kategorikan secara jelas apakah aduan sebenarnya, kadang-kadang hilang gelang (pengenalan diri) pun dipanggil aduan, sedangkan ia permohonan gelang baharu," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya setiap aduan mesti diselesaikan dengan segera atau dalam tempoh tertentu, bergantung kepada jenis aduan.

Mohamad Zamry berkata sebarang cadangan, rakaman penghargaan dan pertanyaan oleh jemaah haji pula akan direkodkan secara rasmi untuk penambahbaikan pada masa depan.

Beliau berkata pusat khidmat pelanggan yang ditempatkan di bangunan Abraj Al-Janadriyyah, ibu pejabat TH dan bangunan penginapan Land Premium di sini akan beroperasi mulai semalam selain jemaah haji juga boleh menghubungi Pusat Bantuan Tanah Suci di talian 0125704433 untuk sebarang pertanyaan.

Sementara itu, Mohamad Zamry berkata pada tahun ini, kadar perlindungan insurans bagi bagasi jemaah haji yang diuruskan TH dinaikkan daripada maksimum RM300 kepada RM500.

"Kehilangan bagasi atau barang milik peribadi di atas sebab kecuaian sendiri tidak termasuk dalam perlindungan ini," katanya.

-- BERNAMA