KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa menunggu laporan penuh daripada semua pasukan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, laporan penuh akan dikeluarkan selepas operasi SAR selesai dan pihaknya akan berbincang mengenai tindakan seterusnya.

“Inisiatif seterusnya (mengenai punca kejadian tanah jerlus) kita akan lihat (kemudian). Dua lagi 'manhole' (lurang kumbahan) (akan terbabit dalam pencarian) sehingga lokasi akhir ke kolam di Pantai Dalam selesai.

“Selepas itu, jika mangsa tidak ditemui, kita akan duduk berbincang kembali apakah tindakan seterusnya. 

“Berapa lama kita akan selesai operasi menyelamat ini belum dapat tentukan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melawat lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Tambah beliau, pihaknya akan melakukan proses pemetaan serta mendapatkan input terperinci termasuk aspek geologi mengenai keadaan tanah di kawasan itu.

"Ini bagi memastikan laluan di kawasan sekitar insiden selamat dilalui pengguna jalan raya," katanya.

Zaliha turut menasihatkan  orang ramai mengelak untuk datang ke lokasi kejadian bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan SAR sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya tidak menghalang peniaga meneruskan perniagaan ketika operasi pencarian di enam lurang kumbahan yang dibuka pasukan penyelamat untuk usaha pencarian.

"Cuma ketika penutup lurang kumbahan dibuka, kita semua sedia maklum ia mempunyai gas yang mungkin berisiko kepada peniaga dan kita minta mereka tutup sementara.

"Kita bukan arah untuk tutup sepenuhnya, apabila operasi pencarian (di lurang kumbahan) itu selesai, peniaga boleh meneruskan operasi mereka. Kita tidak ganggu perniagaan mereka," katanya.

Turut berada di lokasi Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun.