GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang berharap cuti sekolah sempena perayaan Aidilfitri bulan depan dapat memutuskan penularan COVID-19 di sekolah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Pulau Pinang bahawa lapan sekolah di negeri ini ditutup berikutan terdapat kes COVID-19 dilaporkan di sekolah berkenaan.

"Semasa hari raya, ada cuti sekolah diikuti cuti pertengahan tahun hingga Jun dan kami berharap semasa tempoh cuti itu, kita dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19 di semua sekolah," katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata berdasarkan laporan terkini jabatan kesihatan negeri, penularan COVID-19 di sekolah berkemungkinan besar berpunca daripada ibu bapa kepada pelajar.

"Ibu bapa mungkin dijangkiti dari tempat kerja dan membawa virus itu menjangkiti anak-anak mereka.

"Kita berharap di samping terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat, kita dapat memutuskan rantaian penularan virus ini dan mengelakkan pelajar daripada dijangkiti," katanya.

-- BERNAMA