BATU KAWAN: Kerajaan Pulau Pinang sedang dalam penyediaan peruntukan untuk membuat penyelarasan gaji penjawat awam negeri itu, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Tanpa mendedahkan jumlah kenaikan penyelarasan gaji itu, beliau berkata Pegawai Kewangan Pulau Pinang Datuk Zabidah Safar telah membuat pengiraan dan pengumuman akan dikeluarkan menerusi pekeliling rasmi selepas semua prosedur selesai.

"Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini (berhubung penyelarasan gaji penjawat awam) pegawai kewangan telah pun melakukan pengiraan yang diperlukan termasuk jumlah peruntukan.

"Kami kini menilai potensi kesan dan telah membuat peruntukan untuk sebarang peningkatan yang dijangkakan dalam perbelanjaan. Kerajaan negeri juga sedang menilai dana tambahan yang diperlukan untuk menyokong pelarasan gaji ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis perasmian kilang keempat Benchmark Electronics di kawasan Perindustrian Batu Kawan, di sini hari ini.

Pada 16 Ogos lepas, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelarasan gaji peringkat pusat itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa Satu dan 1 Jan 2026 bagi Fasa Dua.

-- BERNAMA