Pulau Pinang telah membentuk satu pasukan khas bagi membantu 6,000 pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang telah diberhentikan kerja mendapatkan pekerjaan di negeri itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan pasukan petugas khas itu hari ini dan jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof. Dr P Ramasamy.

Tambah Guan Eng, penubuhan pasukan itu adalah tanda sokongan Pulau Pinang terhadap pekerja-pekerja MAS yang diberhentikan.

"Bantuan ini menjurus kepada yang mencari pekerjaan dan untuk mereka yang rela bekerja di Pulau Pinang," beliau berkata pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, terdapat kira-kira 150 pekerja MAS di Pulau Pinang namun beliau tidak pasti jumlah yang akan diberhentikan.

Selain itu, Guan Eng berkata, peluang pekerjaan juga terbuka kepada mereka yang bukan dari negeri itu namun bersedia untuk berhijrah.

Pulau Pinang juga akan mencari jalan untuk melindungi hak-hak pekerja, termasuk bersedia membantu mereka yang diberhentikan dari segi bantuan guaman.
Bantuan ini menjurus kepada yang mencari pekerjaan dan untuk mereka yang rela bekerja di Pulau Pinang.


Lebih 20,000 pekerja MAS
menerima notis penamatan tugas masing-masing berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Bagaimanapun 14,000 daripadanya ditawarkan pengambilan semula di bawah kontrak baru manakala baki 6,000 telah ditamatkan.