KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan dalam kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng gagal dalam permohonan untuk menangguhkan prosiding mencabar kredibiliti seorang saksi utama pendakwaan hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan pihak pendakwaan terhadap permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan prosiding itu hari ini ke tarikh lain.

Terdahulu, peguam RSN Rayer mewakili Lim berkata terdapat beberapa bahagian terakhir dalam prosiding mencabar kredibiliti Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli perlu diteliti terdahulu sebelum menyoal balas saksi berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Shaharuddin Wan Ladin yang membantah permohonan itu berkata sepatutnya pihaknya pembelaan membuat persediaan lebih awal iaitu sebelum prosiding mencabar kredibiliti saksi bermula.

“Alasan yang diberikan oleh pihak pembelaan tidak masuk akal kerana kes ini telah empat tahun berlangsung. Oleh itu, pihak kami membantah prosiding hari ini ditangguhkan,” katanya.

Sebelum itu, seorang lagi peguam mewakili Lim iaitu Haijan Omar membacakan keterangan Zarul Ahmad kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penipuan ahli perniagaan G.Gnanaraja membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut  yang sama dan keterangan saksi itu kepada mahkamah.

Azura berkata terdapat percanggahan di antara dua keterangan tersebut dan membenarkan prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan diteruskan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Prosiding itu bersambung 19 Julai ini.