KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia mengekalkan trajektori peningkatan, berkembang secara konsisten sejak Januari 2024 dan merekodkan kenaikan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024 kepada RM237.81 bilion.


Ringkasan AI
  • Perdagangan Malaysia mencatatkan peningkatan konsisten sejak Januari 2024 dengan kenaikan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024, mencapai RM237.81 bilion, di mana eksport meningkat 1.7 peratus dan import naik 17.8 peratus.
  • Lebihan dagangan berjumlah RM14.29 bilion, menandakan lebihan dagangan bulan ke-50 berturut-turut sejak Mei 2020, dengan peningkatan eksport terutamanya disumbang oleh permintaan tinggi bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, gas asli cecair (LNG), serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
  • Pada separuh pertama 2024, perdagangan meningkat 8.4 peratus kepada RM1.396 trilion, dengan eksport mengembang 3.9 peratus dan import naik 13.8 peratus, di mana eksport jentera, kelengkapan dan peralatan melonjak 22.3 peratus, serta eksport minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit meningkat 4.1 peratus.


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan pada Khamis berkata eksport mencatatkan pertumbuhan bagi bulan ketiga berturut-turut, melonjak 1.7 peratus kepada RM126.05 bilion manakala import naik 17.8 peratus kepada RM111.76 bilion.

Lebihan dagangan pula berjumlah RM14.29 bilion, lebihan dagangan bulan ke-50 berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.

Pertumbuhan eksport kebanyakannya disumbang oleh permintaan lebih tinggi bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, gas asli cecair (LNG) serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

"Dari segi pasaran, pengembangan eksport dicatatkan ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan. Eksport ke Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan merekodkan peningkatan ketara dengan pertumbuhan dua digit," kata MITI.

Pada separuh pertama 2024, perdagangan meningkat 8.4 peratus kepada RM1.396 trilion berbanding tempoh yang sama pada 2023, eksport mengembang 3.9 peratus kepada RM731.11 bilion manakala import naik 13.8 peratus kepada RM664.99 bilion.

"Lebihan dagangan sebanyak RM66.12 bilion dicatatkan pada tempoh tersebut. Perdagangan merekodkan nilai tertinggi bagi tempoh ini.

"Dari segi barangan perkilangan, eksport jentera, kelengkapan dan peralatan melonjak sebanyak 22.3 peratus pada separuh pertama 2024 kepada RM33.23 bilion khususnya mesin dan perkakasan bagi pembuatan semikonduktor serta alat ganti," kata kenyataan itu.

Eksport minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit pada separuh pertama 2024 meningkat sebanyak 4.1 peratus berbanding pertumbuhan negatif yang dicatatkan pada separuh pertama 2023 manakala eksport minyak sawit diunjur kekal kukuh pada separuh kedua 2024, disokong oleh permintaan lebih tinggi terutamanya dari India dan China, kata MITI.

-- BERNAMA