ADAKAH anda masih ingat kes dua lelaki bertumbuk di Plaza Tol Bukit Kiara yang videonya tular di media sosial?

Khabarnya kedua-dua individu itu kini berbaik, malah menjadi akrab.

Menurut salah seorang individu itu, Mohamad Fazrien Mohd Ziear, 29, berkata sebagai manusia biasa mereka tidak dapat lari daripada cetusan emosi yang zahir daripada pelbagai punca.

"Perasan marah, benci dan dengki itu selalu meracuni fitrah kami sebagai rakyat Malaysia yang mendukung keamanan sehinggakan kami ini "terlupa" pada kedaulatan undang-undang dan kehilangan seketika luhur peribadi kesopanan dan kesusilaan kami.

"Apakan daya kami ini sebagai manusia biasa memang sukar untuk lari dari melakukan kesilapan," kata Mohamad Fazrien dalam coretannya di akaun Facebook ketika berada di Penjara Kajang.

Tambahnya, pembelajaran hidup selalunya akan disusuli dengan kesilapan agar mereka kenal dan tidak lagi mengulangi kesilapan.

"Kenangan 20 September 2019 menjadi memori dan kesedaran pada kami terutamanya aku. Allah temukan aku dengan saudara Ng Whye Hong untuk memberi pengajaran pada aku," tulis Fazrein.


BACA: Dua pemandu cedera insiden pergaduhan di plaza tol

BACA: Dua lelaki bergaduh di Plaza Tol Bukit Kiara dipenjara sehari, denda RM1,000

Memetik laporan Harian Metro, Fazrien memberitahu tingkah laku dan kebersihan diri banduan lain dalam tahanan menakutkannya dan membuatkan dia dan Ng Whye Hoong, 38, mula berbual mesra.

"Selama kurang lebih 9 jam kami berpasangan didalam tahanan sebaik saja dijatuhi hukuman..tunggang terbalik dalam lori berescort selama 35 minit bersesak dengan tahanan lain sampai aku muntah hijau.

"Kami tersenyum sesama sendiri... berbual sesama sendiri...kami sudah "puas" bergaduh sesama sendiri," tulis Fazrein.


Fazrien juga memaklumkan soal siapa salah atau siapa menang itu biarlah menjadi kenangan dan rekod peribadi mereka sahaja.

"Soal siapa salah, siapa menang dan siapa sakit itu biarlah menjadi kenangan dan rekod peribadi kami berdua.

"Alangkah elok kiranya kita dapat hidup dengan baik bersama-sama," kata Fazrein.

Entri yang dimuat naik Fazrien rata-rata mendapat respons positif daripada orang ramai:

Komen pembaca di Facebook Fazrein.

Terdahulu, pergaduhan mereka tular di media sosial dan video tersebut telah mendapat cemuhan daripada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menyelesaikan masalah dengan cara berhemah.