Melihat kepada masalah berkenaan, pihaknya sedar keadaan itu juga telah menutup ruang buat penduduk setempat untuk mendapat tawaran pekerjaan yang menarik.
Langkah itu katanya harus dimulakan dengan usaha untuk menarik pelaburan besar menumpukan beberapa kawasan perindustrian di kawasan terbabit.
“Dari sudut industri baru perlu ditekankan pelaburannya mesti datang dari syarikat-syarikat gergasi supaya tawaran terhadap graduan lebih berkualiti dan untuk menjamin tangga gaji yang lebih baik untuk tarik minat anak muda setempat.
“Kawasan Sri Gading kawasan industrinya hanya konvensional jadi peluang ini lebih memberi laluan kepada warga asing dan kita faham juga syarikat seperti ini ambil kesempatan dengan tawaran gaji yang rendah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Tambahnya lagi, BN juga ingin meneruskan usaha yang terbantut sebelum ini melibatkan projek High Speed Rail yang akan membuka lebih banyak peluang terhadap anak muda.
Bahkan platform itu juga telah disediakan menerusi bidang pengajian melalui Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagaimanapun faktor kerajaan BN yang tumbang telah merencatkan perancangan itu.
Selain itu, Lassim akan turut menyentuh mengenai pendekatan untuk mengatasi kejadian banjir kilat yang sememangnya kerap berlaku di kawasan itu.
Ini termasuk perancangan jangka melibatkan beberapa kawasan perparitan utama di sekitar Sri Gading.
“Kita akan wujudkan semula parit balas supaya soal banjir kilat, banjir termenung dapat selesai dalam tempoh yang singkat. Dari segi perancangan jangka panjang, tebatan banjir perlu dibuat supaya pendalaman sungai dapat dilakukan.
“Tentunya usaha itu memerlukan sedikit kuasa untuk desak kerajaan pusat supaya segala perancangan dapat direalisasikan,” katanya lagi.
Astro AWANI dalam proses mendapatkan pandangan calon-calon lain yang bertanding di kawasan berkenaan.