KUALA LUMPUR: Berita pemergian calon PKR bagi kerusi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya pastinya menyedihkan khususnya bagi penduduk di kawasan berkenaan.

Lebih memilukan, kurang dua jam sebelum disahkan meninggal dunia, mendiang sempat memuat naik kemas kini terbaharu di Twitter.

Dalam kemas kini jam 12.31 tengah hari itu, mendiang memuat naik video sesi soal jawab di Dewan Rakyat Julai lalu, di mana beliau menyuarakan isu kenaikan harga barang, termasuk barang makanan ruji bagi penduduk kampung seperti ikan kering.

"Selalu di barisan hadapan suarakan derita rakyat," tulisnya pada kapsyen.


Ciapan terakhir Karupaiya itu dipenuhi dengan ucapan takziah, dengan ramai menyifatkan mendiang pemimpin yang fokus bekerja demi rakyat dan tidak memikirkan populariti.

"Walaupun kadang-kadang tak ada like atau retweet, dia tetap update (kemas kini hantaran di media sosial). Dia fokus buat kerja," kata seorang pengguna Twitter.

Terdahulu, berita pemergian mendiang pada jam 2.27 petang yang disahkan oleh anak perempuan beliau, Dippah ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Difahamkan mendiang yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai itu dimasukkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sakit perut. Kematian beliau disahkan akibat serangan jantung.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Karupaiya menang bergaya dengan majoriti 8,813 undi.