Ini adalah satu hari yang penting buat seluruh rakyat Malaysia memilih calon yang benar-benar layak dan menolak mereka yang korup dan integritinya diragui.
Dalam surat terbuka yang dibuat khusus oleh pasukan teras Rasuah Busters pada Rabu, rakyat diseru untuk turun mengundi dan mempertahankan hak mereka dalam memilih kerajaan.
Untuk itu, empat perkara harus dipertimbangkan rakyat untuk turut mengundi pada Sabtu ini.
1. Pemulihan ekonomi
Ekonomi Malaysia perlu dibangunkan semula dengan adil, ketelusan bebas daripada ketirisan dan sebarang anasir rasuah.
2. Perbaiki dasar negara
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah perlu dipertingkatkan. Ia dapat dilakukan melalui penambahbaikan dan penggubalan dasar serta polisi berkaitan integriti, governan dan antirasuah.
3. Bendung ketirisan
Ketirisan dan penyelewengan perlu disekat dengan pemantauan yang wajar agar isu kemiskinan, keselamatan makanan, kenaikan harga barang dan rumah dapat dikawal dengan baik. Menyekat ketirisan mampu mengembalikan hak rakyat terhadap kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan, peluang pekerjaan dengan ia dijadikan agenda keutamaan dalam pentadbiran kerajaan.
4. Keharmornian dan kemakmuran rakyat
Jaminan terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum untuk hidup aman dan makmur serta saling menghormati perbezaan di negara ini.