Menemukan tiga calon ‘heavyweight’ dari tiga parti berbeza, saingan di kerusi itu tidak boleh dipandang enteng memandangkan semua parti optimis mampu mendominasi Teluk Intan.
Kehangatannya sudah terasa sebelum hari penamaan calon lagi dan pastinya akan berterusan sehingga hari penentuan pada 19 November nanti.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), calon Pakatan Harapan (PH), Nga Kor Ming menang bergaya, menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Mah Siew Keong dengan majoriti 11,179 undi.
Menjelang hari penentuan, kerusi panas itu bakal direbut penyandangnya sendiri dengan dua nama besar, Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin antara yang menjadi calon.
Pertembungan empat penjuru itu dilengkapkan dengan calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang pastinya mengintai peluang melakukan kejutan di sana.
Mengulas peluang di kerusi tersebut, calon Barisan Nasional (BN), Murugiah beranggapan beliau sudah meruntuhkan kubu DAP di situ bahkan yakin bahawa beliau sebenarnya “sudah menang”.
"Saya terkejut juga sewaktu saya merancang nak buat manifesto, saya cari DAP punya manifesto, Ahli Parlimen punya manifesto di sini, tiada apa benda.
"Dia punya manifesto dua saja. Satu hentam 1MDB, satu lagi hentam Datin Seri Rosmah Mansor, orang boleh undi dengan dengar itu.
"Dia tak fikir pasal pembangunan Teluk Intan…sebab itu Teluk Intan sekarang ini mundur, tiada pembangunan langsung, orang tiada peluang pekerjaan," katanya kepada Astro AWANI.
Tegasnya, sekiranya rakyat Teluk Intan tahu kerja-kerja dilakukannya sejak tiga tahun lepas, sudah pasti mereka tidak akan memangkah calon lain.
Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Zainol Fadzi meluahkan rasa hairan apabila Nga sekali lagi bakal bertanding di kerusi tersebut.
Jelasnya, Pengerusi DAP Perak itu biasanya hanya ‘melekat’ di satu kerusi untuk satu penggal dan kemudian akan beralih ke kerusi lain pula namun tidak di Teluk Intan.
"Saya rasa bila dia dengar nama saya nak pergi situ, baru dia nak pertahanan situ. Saya fikir dia rasa hanya diri dia saja layak untuk menghalang kemaraan saya, jadi dia kekal di Teluk Intan.
"Jadi dalam soal ini saya ambil tanggungjawab daripada parti, letak di situ untuk bertanding. Buat pertama kalinya saya bertanding di Parlimen, sebelum ini di DUN tiga penggal," ujarnya.
Bagi Nga pula, meskipun lawan banyak bercakap mengenai beliau namun tidak sedikit pun beliau ambil pusing kerana baginya, rakyat Teluk Intan lebih mengetahui segalanya.
Bahkan, beliau yakin rakyat di kawasan tersebut kenal masa satu berlian, mana satu kaca.
"Tapi saya hormat pandangan mereka, kita tak nak tegur kerana saya yakin, saya rasa rakyat Teluk Intan lebih celik, lebih pandai. Mereka tahu, siapa sebenarnya yang sentiasa turun padang.
"Saya sendiri, setiap sekolah di Parlimen Teluk Intan saya dah lawat. Mana ada seorang Ahli Parlimen sudah melawat setiap sekolah kebangsaan, Tamil, Cina.
"Sekurang-kurangnya saya dah lawat 50 sekolah, jumlah peruntukan yang saya bawa untuk sekolah melebihi RM50 juta. ini adalah rekod perkhidmatan kita. Biar fakta bicara," katanya.
Tempoh berkempen masih panjang dan dengan pertambahan pengundi baharu yang agak banyak, sudah pasti ia menjanjikan saingan lebih sengit, menarik dan meriah.
Kurang dua minggu lagi, semuanya akan berakhir dan rakyat Teluk Intan pastinya tidak sabar untuk mengetahui siapakah wakil yang akan membawa suara mereka di Dewan Rakyat kelak.