TELUK INTAN: Seorang lelaki rentung selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas lalu terbakar di Kilometer 23.5, Jalan Changkat Jong-Bidor dekat Kampung Ayer Hitam, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, sebaik menerima laporan pada jam 9.29 malam, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi marak terbakar membabitkan kemusnahan 80 peratus.

"Satu mayat rentung ditemui di dalam sebuah kereta yang musnah dijilat api. Mangsa dijumpai selepas kerja-kerja pemadaman selesai dijalankan.

"Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti ekoran dokumen pengenalan dirinya musnah terbakar," katanya di sini semalam.


Foto JBPM Perak

Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman yang disertai sembilan anggota BBP Teluk Intan dan dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batu 12 tamat pada pukul 11.27 malam. 

Foto JBPM Perak