Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, keadaan itu sebaliknya dilihat memberi nilai tambah kepada Pas, menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN), untuk menawan negeri itu.
Kedudukan itu katanya, menyebabkan pertembungan sengit bakal berlaku di Perlis yang menurutnya sebelum ini tidak pernah diberi tumpuan seperti negeri-negeri lain.
"Barangkali kini apabila wujudnya penggabungan antara personaliti yang sering dikaitkan dengan Perlis, bersama dengan kekuatan Pas, ia memungkinkan Pas menembusi kekuatan BN di Perlis.
"Mungkin kita juga akan melihat PN turut meraih sokongan berdasarkan kepada kemelut yang berlaku, dengan pemilihan calon di Perlis, serta kedudukan Pas yang sememangnya mempunyai kekuatan dari segi guna tenaga, logistik dan jenteranya yang turut membantu kedudukan dalam PN," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Sivamurugan berkata, kekuatan PKR juga tidak boleh ditolak kerana parti itu dilihat sudah berjaya menembusi kekuatan BN dengan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kangar.
Selepas digugurkan dari senarai calon BN untuk PRU15, Datuk Seri Shahidan Kassim diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Arau atas tiket Pas, manakala Datuk Zahidi Zainul Abidin pula bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi.
Pada PRU14, BN menang dua daripada tiga kerusi Parlimen dan 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis.