KOTA KINABALU: Kalau dulu perkhidmatan bas henti-henti ibarat nadi pengangkutan awam buat penduduk di sekitar Kota Kinabalu.

Namun, keadaan itu cukup berbeza ketika ini.

Pemandu bas henti-henti ini terpaksa menunggu sehingga enam atau tujuh jam untuk untuk mendapatkan penumpang.

Tetapi apakan daya kerana mahu mencari rezeki, mereka telan sahaja walaupun pahit untuk diharungi.

Astro AWANI cuba menyelami isi hati mereka, di sebalik bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hampir.

Dari jauh lensa Astro AWANI melihat kumpulan pemandu bas henti-henti ini hanya duduk di bahu jalan.

Kenderaan mereka ibarat 'tersadai' dan belum ada tanda mahu bergerak.

Menanti penumpang kalau-kalau ada yang mahu pergi ke Luyang, Kinarut atau pulang ke Putatan.

.

Ariffin Beddu, 67, sudah lebih 30 tahun mencari rezeki sebagai pemandu bas henti-henti.

Rutinnya setiap hari seawal pukul 7 pagi, menanti penumpang untuk dihantar ke Kinarut.

Ketika disapa, dia berkata, dua jam menunggu hanya tiga penumpang baru berada dalam vannya.

"Ikut permit (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) 12 orang untuk satu van. Biasanya kalau lama menunggu, terpaksa jalan juga (walaupun tak cukup 12 orang).

.

"Kadang-kadang penumpang, dia beritahu saya (bayar) tambang yang kosong, jadi kami bergerak," ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.


Kata Ariffin lagi, bagi mengurangkan kos petrol, dia memilih untuk menunggu sahaja berbanding bergerak dari lokasi ke lokasi.

"Kalau bergerak sahaja, petrol sahaja tidak lari RM100. Jadi apa kita mahu makan? Kalau parkir begini, petrol hanya RM30," katanya.

"Saya mahu tengok wakil rakyat nanti siapa yang tolong (pemandu) mini bas, dan kita akan bertimbang rasa. Siapa yang boleh menolong pengangkutan awam, kita boleh tolong juga," tambah Ariffin.

Sejak COVID-19, pendapatan yang diperolehi mereka juga tidak menentu, dan kala cukup untuk mengisi minyak dan menyelenggara kenderaan.

Ketika ini kadar tambang pula hanya sekitar RM2 hingga RM4, berdasarkan jarak laluan.

"Kami kena sabar sajalah... kami menunggu begini sabar dan memang sudah biasa," kata seorang lagi pemandu bas henti-henti, Sakur Lembo, 53.

Dia mengakui, kalau ditanya soal cukup atau tidak, memang secara jujur pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi.

"Mana lagi mahu beli minyak, makan, dan nak simpan untuk beli tayar kereta...," luahnya.

.

Sementara itu, Chris Justinus, 46, berharap sebuah terminal bas di Kota Kinabalu dapat dibina segera untuk menambah baik perkhidmatan mereka termasuk menggunakan sistem tiket.

"Kalau boleh sediakan terminal kepada kami sebab (terminal) bergantung dengan DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) cari tapak. Sudah lebih lima tahun mereka cakap mahu cari tapak tapi sampai sekarang kita kena tunggu," katanya.

.

Bekas pekerja bank itu menambah, disebabkan ketiadaan terminal, pemandu-pemandu bas turut berdepan risiko disaman oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP).

"Kalau ikut betul peraturan DBKK, tempat ini hanya mengambil sahaja dan bukan tempat menunggu penumpang," katanya.