Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan dibuka bermula 8 pagi manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 7.30 pagi.
Mengikut Warta Kerajaan mengenai penetapan waktu mengundi PRU15 yang dimuat naik di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang.
Namun, ada pusat mengundi akan ditutup lebih awal antaranya Balai Raya Pulau Besar di dalam daerah mengundi Pulau Besar di Johor yang hanya mempunyai satu tempat mengundi, akan ditutup pada 11 pagi.
Di Sabah, Sarawak dan Labuan pula pusat mengundi akan ditutup antara 11 pagi hingga 5.30 petang.
Menurut kenyataan SPR pada 20 Okt lepas, sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi akan dibuka di seluruh negara untuk PRU15.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Sejumlah 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun akan mengundi buat kali pertama pada PRU15 ini susulan pelaksanaan Undi18.
Pengundian awal telah berlangsung pada Selasa lepas yang menyaksikan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Dalam pada itu, pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai, Kedah tidak akan diadakan bersekali dengan PRU15 hari ini susulan kematian calon Pakatan Harapan yang juga penyandang kerusi itu M. Karupaiya pada Rabu lepas.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan semalam berkata PRU15 bagi Parlimen itu ditetapkan pada 7 Dis depan manakala hari penamaan calon pada 24 Nov dan hari mengundi awal pada 3 Dis.
Selepas proses penamaan calon PRU15 pada 5 Nov lepas, seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam rekod Pilihan Raya Umum negara.
Berikutan pilihan raya Parlimen Padang Serai diadakan berasingan, seramai 939 calon akan bertanding hari ini bagi merebut 221 kerusi Parlimen.
Karupaiya, 69, sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15.
Sementara itu, seramai 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi DUN di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah.
Bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pengundi yang positif COVID-19 perlu melaporkan status kesihatan mereka dalam aplikasi MySejahtera masing-masing untuk mendapatkan pemakluman mengenai garis panduan mengundi.
Mereka juga wajib memakai pelitup muka dan tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing. Pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain pula adalah amat digalakkan.
Dalam pada itu, SPR dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan pada PRU15.
Menurut SPR, pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan gajet itu di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula selepas selesai mengundi.
Sebagai peringatan, notis dan poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletak di luar dan di dalam tempat mengundi.
-- BERNAMA