Dua calon 'heavyweight' yang bertanding di situ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy Jamaluddin yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan) meluangkan masa meninjau kawasan terlibat.
Menerusi perkongsian di media sosial, Khairy melakukan tinjauan di kawasan perumahan Taman Setia Warisan serta memberikan cadangan dalam menangani punca banjir tersebut.
“Dua hari lepas saya baru sahaja bercakap tentang banjir dan hari ini berlaku banjir. Antara masalahnya kalau kita lihat sungai di belakang ini, paip di sini tidak cukup panjang, apabila sungai ini deras ia menyebabkan air hujan melimpah keluar.
“Jadi, kita akan usahakan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pun dah bagi cadangan supaya kita dapat tinggikan tembok ataupun sambungkan ban yang telah dibina supaya air dia tidak tendang dan melimpah keluar.
“Jadi, saya harap bersabarlah penduduk Taman Setia Warisan kita akan hantar pasukan untuk bantu cuci rumah yang terkesan banjir hari ini,” ujarnya menerusi satu rakaman video.
Pada masa sama, Ramanan turut melakukan tinjauan di kawasan sekitar yang dinaiki air dengan menyantuni penduduk serta menghantar pasukannya untuk meringankan beban penduduk terkesan.
Malah, beliau turut memaklumkan segala programnya yang telah dijadualkan untuk malam ini sama ada akan ditangguhkan dan dibatalkan.
Parlimen Sungai Buloh yang bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru pada PRU15 turut menyaksikan calon menawarkan manifesto yang menfokuskan isu tangani banjir.
Terdahulu, beberapa lokasi di Pahang, Johor, Sarawak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir kilat jika hujan lebat atau ribut petir signifikan dalam tempoh 12 jam bermula 5.30 petang tadi.
Menurut JPS dalam satu kenyataan, ia berdasarkan maklumat ramalan hujan daripada model 'Numerical Weather Prediction' (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta Southeastern Asia Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS).