KUALA LUMPUR: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Md Yunus Ramli meninggal dunia kira-kira 3.30 pagi ini di Hospital Rompin, Pahang.

Perkara itu disahkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud kepada Bernama.

Md Yunus, 61, daripada Pas yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi sama pada PRU14 merupakan Ketua Pas Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman.

Beliau juga merupakan bekas Timbalan Presiden Bola Sepak Daerah Rompin.

Hari ini adalah hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi PRU15, DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

Sementara itu di MUAR, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Md Yunus dan berharap keluarga Allahyarham terus tabah serta cekal menghadapi dugaan itu.

"Ia berita yang amat menyedihkan. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga atas kehilangan tersebut. Saya berharap ia tidak menghalang orang ramai untuk keluar mengundi," kata Muhyiddin yang juga calon PN Parlimen Pagoh kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar, di sini hari ini.

Turut hadir isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

-- BERNAMA