Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, kehadiran pegawai-pegawai SPRM itu merupakan prosedur biasa siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.
"Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa, hanya empat orang pegawai SPRM hadir untuk menemu bual kakitangan dan ambil dokumen berkaitan kewangan sahaja.
"Tiada kakitangan yang ditahan dalam siasatan tersebut dan mereka semuanya dilihat tidak tertekan dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang keberadaan pegawai SPRM di pejabat tersebut," katanya kepada Astro AWANI di sini hari.
Ketika berucap pada ceramah Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Wangsa Maju malam tadi, Rafizi mendedahkan syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu SPRM dan turut mendakwa kakitangan ditahan selama tujuh jam.
SPRM sebelum ini memaklumkan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan calon Parlimen Pandan selepas satu laporan dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perisytiharan Rafizi.
Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih RM18.85 juta dan mendakwa tidak memerlukan dana awam untuk menjadikan dirinya kaya.
Beliau berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk berbuat demikian.