KAHERAH: Proton akan memulakan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Mesir mulai Disember ini.


Ringkasan AI
  • Proton akan memulakan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Mesir mulai Disember ini, sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia untuk kerjasama antara negara.
  • Rancangan pengeluaran adalah sebanyak 16,000 unit sehingga tahun 2026 dengan anggaran nilai RM570 juta, menjadikan Mesir sebagai hab utama Proton di rantau ini.
  • Pengerusi Proton menyatakan usaha ini penting untuk menerokai pasaran baharu, dengan pusat pemasangan di Giza menjadi yang pertama untuk model pandu kiri syarikat di luar negara.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa cara pemikiran baharu dalam kerjasama antara negara.

“Proton bukan hanya setakat syarikat automotif.

“Ia adalah kebanggaan dan sebahagian daripada identiti Malaysia,” kata beliau ketika Majlis Pelancaran Kilang Pemasangan Proton CKD di Mesir.

Tambah beliau, usahasama sebegini penting untuk memajukan industri tempatan masing-masing.

“Keberadaan Malaysia di Mesir ini adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan,” katanya lagi.

Rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan ini adalah sebanyak 16,000 unit antara tahun ini hingga 2026, dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Selain itu, Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata untuk jenama kereta tempatan ini terus maju, penting bagi Proton untuk menerokai pasaran baharu.

“Setiap tahun, jualan eksport kami semakin meningkat.

“Dalam perancangan jangka sederhana, kami berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab utama Proton di rantau ini,” kata beliau di majlis tersebut.

Tambah beliau, pusat pemasangan serantau di Giza, Mesir akan menjadi yang pertama untuk model pandu kiri syarikat itu di luar negara.

“Kami berharap platform ini memberikan potensi untuk Proton berkembang lebih jauh ke negara jiran dengan menjadikan Mesir sebagai hab utama,” jelasnya

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri bagi Pembangunan Industri dan Menteri Pengangkutan dan Industri Mesir Kamel Al-Wazir, Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments, Hisham Ezz Elarab.