KUALA LUMPUR : Tiada keperluan untuk mana-mana pihak melakukan bantahan di jalanan kerana kerajaan sentiasa berusaha mendengar suara dan pandangan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan, tidak ada mana-mana perhimpunan dibenarkan ketika ini memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani COVID-19 masih berkuat kuasa.

Beliau yang mengulas mengenai protes berhampiran kawasan Dataran Merdeka pada pagi Sabtu, dalam pada itu, berharap agar semua peserta yang terbabit tidak dijangkiti COVID-19.


Protes | Polis tutup jalan ke Dataran Merdeka

“Saya bimbangkan keselamatan peserta perhimpunan tersebut kerana terdedah kepada bahaya jangkitan COVID-19.

“Mungkin ada yang dijangkiti dan bawa COVID-19 pulang ke rumah lalu merebak hasil daripada perhimpunan tersebut," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di AXIATA Arena di Bukit Jalil petang Sabtu.

BACA: Polis akan panggil semua pihak terlibat protes di Dataran Merdeka

BACA: Protes #LAWAN berlangsung aman

Kira-kira 400 peserta menyertai perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' berhampiran Dataran Merdeka pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata walaupun perhimpunan itu berlangsung secara aman, ia jelas melanggar peraturan dan semua mereka akan dipanggil membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan menyediakan pelbagai platform untuk membolehkan suara rakyat sentiasa didengari tanpa mereka perlu turun ke jalanan.

“Kita dengar suara rakyat dari mana-mana. WhatsApp pun kita dengar. Saya setiap hari dapat cadangan daripada rakyat melalui pesanan WhatsApp.

“Setiap pandangan kita beri perhatian. Pelan Pemulihan Negara (PPN) kita bentang di Parlimen untuk dapat pandangan tambah baik. Tidak perlu sampai ke jalanan,” katanya.


[TERKINI] Perkembangan protes #LAWAN