PUTRAJAYA: Kerajaan terus menyatakan komitmen dan sokongan terhadap industri sukan elektronik (e-sukan) termasuk berhasrat memberi pengiktirafan sewajarnya.


Ringkasan AI
  • Kerajaan terus menunjukkan komitmen dan sokongan terhadap industri sukan elektronik (e-sukan) dengan berhasrat memberi pengiktirafan sewajarnya.
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa e-sukan mampu meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.
  • Selain itu, beliau mencadangkan pembinaan stadium khas sebagai tanda galakan, walaupun kekangan kewangan mungkin menjadi halangan. Beliau juga melihat potensi besar dalam e-sukan melalui program pendidikan dan latihan TVET.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sukan elektronik mampu menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa termasuk kejohanan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL) yang mempunyai jangkauan meluas di peringkat global yang kini tersedia di lebih 139 buah negara.

"Oleh kerana e-sukan menarik jutaan peminat bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia, malah Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL) lalu, viewers mencapai kira kira 20 juta penonton.

"Penyertaan keseluruhan adalah melebihi 1.2 billion. Ini menjadikan e-sukan harus diberikan dukungan oleh pihak Kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam sidang media sebelum mengadakan pertemuan khas bersama peserta dan penganjur Mid Season Cup MLBB 2024 - Moonton Games Malaysia di Putrajaya pada Jumaat.

Tambahnya, beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan menyarankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan nota kepada Kabinet tentang perkembangan dan pembangunan sukan e-sukan termasuk pembinaan stadium khas.

"Ia termasuk saranan sebuah stadium khusus dapat disediakan pihak Kerajaan sebagai tanda galakan. Namun kita tahu bahawa kekangan kewangan sekarang ini akan menjadi hambatan kepada pembinaannya. Namun saya fikir kita mesti memulakan sesuatu daripada sekarang untuk memberi galakan yang baik kepada mereka," katanya.

Sementara itu, beliau juga melihat potensi besar dalam e-sukan boleh dikembangkan dengan mewujudkan program khas pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk menggilap bakat para belia tempatan dalam menyokong ekosistem e-sukan.

Ini meliputi kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas e-sukan, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan dan kerja teknikal.