Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak meminta sebarang ganjaran daripada beliau kerana membantu mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor, 68, berhubung projek tenaga solar itu berkata demikian ketika dicadangkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah bahawa Mahdzir telah meminta 20 peratus daripadanya sebagai upah membantu mendapatkan projek berkenaan.

Keterangan Saidi, 61, bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan ke-16 yang juga rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah sebelum ini, yang memberitahu mahkamah bahawa bekas Menteri Pendidikan itu ada meminta 20 peratus daripada Jepak Holdings sebagai upah kerana membantu mendapatkan projek solar hibrid tersebut.

Akberdin: Bagi semua bantuan dan sumbangan oleh Mahdzir (bagi mendapatkan projek solar hibrid) beliau telah meminta 20 peratus daripada nilai projek iaitu RM250 juta daripada kamu.

Saidi: (Mahdzir) tidak ada minta, tidak setuju.

Akberdin: Selepas itu kamu cakap terlampau banyak, tidak boleh bagi 20 peratus, akhir sekali turun kepada RM60 juta dan satu perjanjian telah dibuat antara kamu dan Mahdzir dengan sebulan akan dibayar RM1 juta untuk tempoh lima tahun (kepada Mahdzir).

Saidi: Tidak, tidak ada agreement (persetujuan) itu.

Akberdin: Daripada 20 peratus itu, jumlahnya telah diturunkan kepada RM60 juta dan satu perjanjian disediakan oleh Rayyan Radzwill di mana kamu dan proksi Mahdzir bernama Md Fuad Yasin telah menandatangani perjanjian itu.

Saidi: Agreement (persetujuan) dengan Fuad memang ada, tetapi dengan Mahdzir tidak ada.

Saksi pendakwaan ke-17 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas Perdana Menteri itu yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta, daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Akberdin yang kelihatan tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Saidi berterusan ‘menekan’ saksi itu mengenai hubungan Md Fuad dengan Mahdzir, di mana peguam itu berkali-kali mencadangkan kepada Saidi bahawa Md Fuad menandatangani perjanjian itu bagi pihak Mahdzir.

Saksi itu menegaskan bahawa dia tidak mengetahui apa hubungan Md Fuad dengan Mahdzir namun mengakui beliau menawarkan RM60 juta kepada Md Fuad selepas lelaki itu memberi jaminan akan mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek solar hibrid itu dalam tempoh sebulan.

Akberdin: Apa latarbelakang Md Fuad memandangkan kamu dah percaya dia untuk dapatkan SST dengan upah RM60 juta, satu jumlah yang banyak.

Saidi: Saya seorang ahli politik, dia (Md Fuad) juga ahli politik, mungkin dia ada "orang hubungan”.. Saya beri dia tempoh sebulan untuk dapatkan SST, tapi kepada siapa yang diberikannya RM60 juta itu, saya tak tahu. Kita dalam politik tidak kisah walaupun dia ahli biasa, mungkin dia ada hubungan dengan (orang) peringkat tertinggi.

Akberdin: Saya cadangkan kepada anda, anda berbohong, tidak bercakap benar, anda sengaja lindungi fakta Md Fuad ialah proksi Mahdzir sebab anda rapat dengan Mahdzir.

Saidi: Tidak betul, saya tidak lindungi sesiapa…saya bercakap benar, saya sudah angkat sumpah (untuk bercakap benar).

Md Fuad yang sebelum ini menjadi ‘buruan’ pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih gagal dikesan sehingga kini.

Saidi bagaimanapun bersetuju dengan Akberdin bahawa beliau membayar RM40,000 untuk perbelanjaan penginapan perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah, yang mana Mahdzir merupakan ketua UMNO bahagian itu, ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur pada 2016.

Saidi dalam pada itu turut ditanya mengenai peranan penting dimainkan Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Pahang, Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib dalam membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar itu, di mana saksi itu mengakui bahawa beliau bersetuju memberi RM50 juta kepada Ahmad Aazmey sebagai upah, menerusi perjanjian bertulis yang ditandangani mereka (Saidi dan Ahmad Aazmey) pada 19 Julai 2016.

Akberdin: Kamu juga beri kepada Ahmad Aazmey kira-kira RM20,000 atau RM30,000 setiap bulan sejak Disember 2016 sehingga projek solar hibrid itu dianugerahkan kepada Jepak Holdings.

Saidi: Ya, untuk UMNO Pekan.

Akberdin: Setuju, kamu dah bayar RM2 juta kepada Ahmad Aazmey atas bantuan yang diberikan bagi mendapatkan projek solar hibrid.

Saidi: Betul ada bagi, tetapi jumlah (wang) tidak ingat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA