Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sungai Petani merampas produk minuman dan makanan dalam botol bernilai RM3,500 yang menggunakan logo halal tanpa sijil
perakuan yang sah.

Rampasan itu dibuat dalam satu operasi bersepadu kira-kira 10.30 pagi semalam yang dijalankan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sebuah premis pengilang dan pengeluar minuman dan makanan di kawasan perindustrian Taman Ria Jaya, di sini.

Ketua Cawangan PPDNKK Sungai Petani, Sha'arani Miskat berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menggunakan logo halal pada produk jualan tanpa kelulusan dan kebenaran Jakim.

Satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan, hari ini.

Sha'arani berkata, kesalahan di bawah APD 2011 ini boleh menyebabkan orang perseorangan didenda maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, manakala pertubuhan perbadanan atau syarikat boleh didenda RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta, bagi kesalahan kedua.